Saturday 10 December 2011

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN


Mata  pelajaran          : Bahasa Melayu
Tahun                         : 4 Bestari
Bilangan  Pelajar         : 30 orang
Tema                          : Pantun Nasihat
Tajuk                          : Mengenang Jasa
Tarikh                         :13 September 2011
Masa                          : 1 Jam
Objektif                       : Pada akhir pembelajaran , murid dapat:
  1.Membaca kuat puisi  dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar
                                      2.Memberi maksud pantun dan menulisnya .
Fokus Utama               :
5.2      Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar serta memahami perkara yang dibaca.
            Aras 3(i)
            Membaca teks pelbagai laras dengan sebutan dan intonasi yang betul     serta gaya yang sesuai.

Fokus sampingan        :10.3    Membuat ringkasan daripada bahan yang didengar atau dibaca.
                                                Aras 2(i)
                                                Mencatat isi daripada pelbagai bahan yang dibaca.

Sistem Bahasa             :Tatabahasa                : kata kerja
                                     Kosa kata                   : jelita,berangan,daratan,rebutan,petik,terbilang

Pengisian kurikulum   :ilmu                            : Kajian Tempatan, Muzik
                                    Nilai                           : mengenang jasa, merendah diri, berbudi,
                                    Kemahiran berfikir     : menjana idea
                                    Kecerdasan pelbagai  : verbal linguistik,interpersonal,muzik 

Bahan bantu mengajar                                     : CD pantun
                                                                        : LCD
                                                                        : petikan pantun
                                                                        : kertas manila
                                                                        : pen marker
                                                                        : komputer riba


PANTUN  NASIHAT 

Gadis jelita pandai bergaya,
Pandai juga menganyam rotan,
Kalau kita sudah pun berjaya,
Jangan pula lupa daratan.


Pergi berburu di hutan palas,
Rusa emas menjadi rebutan,
Jasamu guru tidakkan terbalas,
Walau emas sejuta lautan.


Terbang kedidi ke hujung desa,
hinggap sebentar di pohon berangan,
bila anak-anak sudah dewasa,
ibu bapa dilupa jangan.


Pak Mat pergi memanah,
Che Ali mengutip pegaga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.


Petik jambu dibawa pulang,
Mari dipetik untuk dirasa,
Jasa ibu ayah tidak terbilang,
Mendidik kita sepanjang masa.

 

    Adat tuan adat beserah,
    Mari datang membawa puan;
    Adat bersirih adat sejarah,
    Untuk tuan saya sembahkan.

     
     Pantun ialah bentuk puisi Melayu tradisional yang asli dan unik. Ia merupakan sumber khazanah dalam kehidupan masyarakat di alam Melayu, baik dari segi pemikiran, kesenian, mahupun nilai-nilai moral dan sosialnya. Akalbudi orang Melayu dapat dilihat dalam pantun yang diungkapkan secara spontan dengan begitu ringkas dan padat. Ini termasuklah kebijaksanaan dan ketangkasannya menjana makna yang dalam dan mengukir gerak hati serta lukisan rasa yang indah bersama penampilan unsur-unsur alam.

      
     Pantun wujud dalam pelbagai bentuk dan wajah, dari pantun dua kerat dan pantun empat kerat sehingga ke pantun berkait. Genre ini menduduki tempat yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu, justeru diungkapkan dalam permainan kanak-kanak, dalam percintaan, upacara peminangan dan perkahwinan, nyanyian, dan upacara adat .Pendeknya setiap tahap kehidupan manusia Melayu, iaitu dari dalam buaian hingga ke alam percintaan dan hari-hari tua, dibantu dan dihiasi oleh pantun.

PANTUN DALAM LAGU KANAK-KANAK

Lagu Burung Kakak Tua

Lagu Rasa Sayang Sayange

 

CARA MELAFAZKAN PANTUN

Seperti yang kita sedia maklum, pantun biasanya dilafazkan mengikut sebutan, intonasi dan irama yang biasa didengar sebagaimana video di bawah. 

                                           sekarang...

                                           dahulu...

Melagukan pantun atau memantunkan lagu

Adakah pantun boleh didendangkan ? 
Jika boleh, bagaimanakah cara mendendangkannya dan apakah pula iramanya ? 
Pengkaji pantun berpendapat pantun tidak mempunyai irama lagu yang khusus, sebaliknya pantun dibaca secara bebas, tetapi mengikut intonasi yang tertentu. Sebagai puisi asli melayu, pantun wujud sejak berzaman-zaman, iaitu sejak zaman masyarakat melayu belum tahu menulis dan membaca. 

Pantun merupakan sejenis puisi tradisional masyarakat melayu yang dicipta sebagai suatu bentuk pengucapan untuk menyampaikan fikiran dan perasaan terhadap seseorang atau mengenai sesuatu perkara, di samping bertujuan untuk menyindir, berjenaka, memberikan nasihat, sebagai selingan atau penyedap cakap dalam ucapan atau untuk bersuka-suka sahaja.

Tanpa kita sedari, sebenarnya pantun boleh dan telahpun dilagukan mengikut irama dan lagu yang tersendiri dalam pelbagai lagu-lagu klasik mahupun lagu-lagu moden masa kini. Antaranya, seperti dalam lagu Gurindam Jiwa, Joget Pahang dan Kelip Kelip Ku Sangka Api yang tertera di bawah. 

                                                         Lagu Gurindam Jiwa..


Lagu Joget Pahang 

 

Kelip Kelip Ku Sangka Api

Tiap hari melintas di sini
Kuharapkan dapat memandang mu
Sayangnya engkau persis tak peduli
Akulah seorang merindu

Jeling jeling kau tidak berpaling
Senyum diberi tiada balasan
Sikapmu sayang membuatku rungsing
Ku turut hati merana badan

( korus )
Berakit berakitlah ke hulu
Berenang renang ku ketepian
Bersakit biarku sakit dahulu
Bersenang denganmu kemudian

Kelip kelip ku sangkakan api
Sinar mentari membawa cahaya
Kau hilang ghaib sangkaku kau benci
Kiranya sengaja nak menduga


PANTUN MELAYU

Selaras dengan perkembangan budaya dan tamadun manusia, pantun menjadi lebih bertenaga, tukang-tukang pantun dapat berpesta dengan bahasa yang kian kaya perbendaharaannya, unsur-unsur persekitaran pula menjadi lautan ilham yang tidak pernah kering dan pupus. Sebagai unit-unit makna yang dapat wujud kendiri, setiap rangkap pantun boleh membawa satu tema atau idea yang lengkap. Bayangkan betapa banyak idea dan tema yang dapat digarap oleh pantun – tiada nokhtahnya!

Alam bukan sahaja menjadi sumber ilham pencipta pantun, tetapi juga menjadi cermin untuknya menatap dan menginsafi diri manusia. Dari imejan sehingga idea atau persoalan, pantun meniru alam, termasuk segala fenomena dan fielnya, untuk menyindir, memujuk dan mendidik manusia.

Dengan demikian pantun menyentuh semua penjuru kehidupan manusia, memenuhi hampir keseluruhan hidup dan hayat manusia, ia melingkungi kehidupan kanak-kanak melalui dendangan dodoinya, meniti bersama kedewasaannya untuk meratapi cinta yang tak berbalas, rindu yang tak berkesudahan, melangkah bersamanya untuk merintih nasib seorang perantau dan akhirnya mencecah hari tua untuk menegur dan menasihat.

Rima pantun
Dalam berpandukan hukum-hukum kelisanan, maka pantun dicipta. Bentuk pantun dengan demikian memanifestasikan seluruh puitika lisan. Barisnya yang bersukat dan seimbang, dengan pola rima di hujung dan di tengah baris (untuk pantun yang baik), malah pada tahap bentuknya yang awal setiap perkataan dalam pembayang berima dengan setiap perkataan dalam maksud. Sebagai contohnya;
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata;
Mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih;
yang apabila diucapkan memunculkan rima yang menjadikannya mudah dihafal dan dingat-balik. Contohnya pantun-pantun di bawah dengan rima dalam dan rima hujung pada baris-baris yang berselang-selang, apabila diucapkan akan memunculkan ritma yang menarik:
Limau purut/ lebat di pangkal
Sayang selasih/ condong uratnya
Angin ribut/ dapat ditangkal
Hati kasih/ apa ubatnya?
(Wilkinson)
Nasi lemak/ buah bidara,
Sayang selasih/ saya lurutkan;
Buang emak/ buang saudara,
Kerana kasih/ saya turutkan.
(Wilkinson)
Budaya penyampaian
Penggunaan perumpamaan dalam semua bentuk komunikasi verbal, adalah sebahagian daripada etos budaya lisan. Bentuk komunikasi yang berbentuk oral-aural atau “face to face” menjadikan komuniti lisan wujud dalam situasi yang rapat dan dekat. Contoh seperti upacara adat meminang.

Dalam komuniti yang demikian, sesuatu maksud yang hendak disampaikan perlu disampaikan dalam bentuk halus, berlapik dan bijaksana kerana penerima mesej berada di depan muka. Kelangsungan bicara akan dianggap biadap, bebal, atau menyentuh perasaan si penerima, sehingga mengguggat kesepaduan kolektif.

Dari keperluan inilah ungkapan-ungkapan kias-ibarat, perumpamaan dan bidalan muncul. Melaluinya sindiran, teguran, kritikan di sampaikan secara tersirat dan halus, tetapi tepat dan menghiris. Pantun memanfaatkan alat bahasa yang demikian, kerana pantun sentiasa diucapkan dalam konteks sesuatu situasi.