Pantun adalah salah satu bentuk puisi lisan Melayu dan cabang kesusteraan Melayu yang paling tua. Pantun dikatakan mula dicipta oleh orang Melayu untuk menyampaikan mesej perasaan hati seperti contoh merasa sedih kerana duduk berdagang di perantauan, mengenangkan untung nasib yang malang dan bersuka ria. Manakala menurut Kamus Dewan, pantun adalah pemakaian kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan yang berkenaan (sebagai perbandingan atau kiasan).
Rangkap-rangkap pantun yang ringkas dan mudah, mungkin sudah berligar-ligar dalam bentuk kias-ibarat, usik-mengusik, uji-menguji di kalangan masyarakat pra-moden, pra-tulisan, sama seperti perumpamaan, bidalan dan rumus-rumus bahasa bersirat yang lain.
Contohnya pantun-pantun di bawah dengan rima dalam dan rima hujung pada baris-baris yang berselang-selang, apabila diucapkan akan memunculkan ritma yang menarik:
Limau purut/ lebat di pangkal,
Sayang selasih/ condong uratnya;
Angin ribut/ dapat ditangkal
Hati kasih/ apa ubatnya?
Nasi lemak/ buah bidara,
Sayang selasih/ saya lurutkan;
Buang emak/ buang saudara,
Kerana kasih/ saya turutkan.
Pernyataan padat dan ringkas
Pantun juga perlu patuh kepada satu penjimatan ketat pernyataan-pernyataan linguistik yang sesuai dan ini dapat dilihat dalam baris-baris pantun yang ringkas tapi padat makna, seperti:
Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang cantik budi,
Yang indah bahasa.
Sekali pergi menuba,
Sekali ikan merimbat;
Sekali adik disapa,
Setahun rindu terubat.
Dari bentuk perumpamaan:
Sudah gaharu cendana pula.
Menjadi pantun dua kerat:
Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.
Kemudian menjadi pantun empat kerat:
Sudah gaharu cendana pula,
Bedak bertemu dalam puan;
Sudah tahu bertanya pula,
Hendak bertemu gerangan tuan.
Dari bentuk perumpamaan:
Sayangkan kain buangkan baju.
Menjadi pantun dua kerat:
Sayangkan kain buangkan baju,
Sayangkan lain buangkan aku.
Kemudian menjadi pantun empat kerat:
Sayangkan kain buangkan baju,
Kerana baju panjang lima;
Sayangkan lain buangkan aku,
Kerana aku dagang yang hina.
Contoh di atas bukan mencadangkan bahawa semua pantun berkembang secara demikian, tetapi dasarnya perkembangan tersebut telah memunculkan bentuk-bentuk rangkap pantun yang dapat dijadikan model kemudiannya.
Perkembangan pantun
Perkembangan bentuk pantun ini tentunya selari pula dengan perkembangan tema dan fungsi pantun, sehingga akhirnya pantun membentuk satu khazanah puisi lisan yang amat besar jumlahnya. Namun tanpa kajian filologi serta bukti-bukti yang kukuh, kita masih tidak dapat berbicara dengan pasti tentang pensejarahannya.
Dendangan rakyat atau lagu kerja
Walaubagaimanapun, pada kurun ke 14, bentuk pantun yang sudah mantap muncul dalam Hikayat Raja Pasai, karya Melayu tertulis yang dianggap terawal. Namun satu fakta yang tidak dapat disangkalkan ialah kemungkinannya lama sebelum itu, pantun mungkin sudah tersebar luas secara lisan di dunia Melayu. Ia menghiasi dunia seni Melayu melalui keindahan bahasa dan keelokan isinya dan menghibur petani dan nelayan sebagai lirik untuk dendang rakyat atau lagu kerja.
Secara pragmatiknya, pantun mungkin mula dipopularkan sebagai lirik lagu. Mengikut teori Fischer (1961) tentang asal-usul seni, puisi yang terawal adalah muncul dari keperluan untuk membangkitkan semangat kolektif bagi memudahkan dan meringankan sesuatu kerja.
Keperluan kepada bentuk-bentuk puisi yang mudah dihafal, tekanan oleh kesepontanan penciptaan mungkin melahirkan ungkapan-ungkapan bersukat dan berima seperti pantun, yang kemudiannya dilagukan untuk mengendur situasi tegang semasa bekerja.
Bentuk pantun yang unik, sifatnya yang profan, bahasanya yang bebas dari pantang-larang, mungkin menjadikannya mudah dicipta dan kewujudannya yang lebih akrab dengan masyarakat bawahan, memudahkannya tersebar dengan selesa di kalangan masyarakat.
Sifat Pantun
Alam dan kehidupan
Selaras dengan perkembangan budaya dan tamadun manusia, pantun menjadi lebih bertenaga, tukang-tukang pantun dapat berpesta dengan bahasa yang kian kaya perbendaharaannya, unsur-unsur persekitaran pula menjadi lautan ilham yang tidak pernah kering dan pupus. Sebagai unit-unit makna yang dapat wujud kendiri,
setiap rangkap pantun boleh membawa satu tema atau idea yang lengkap. Bayangkan betapa banyak idea dan tema yang dapat digarap oleh pantun – tiada nokhtahnya!
Alam bukan sahaja menjadi sumber ilham pencipta pantun, tetapi juga menjadi cermin untuknya menatap dan menginsafi diri manusia. Dari imejan sehingga idea atau persoalan, pantun meniru alam, termasuk segala fenomena dan fielnya, untuk menyindir, memujuk dan mendidik manusia.
Dengan demikian pantun menyentuh semua penjuru kehidupan manusia, memenuhi hampir keseluruhan hidup dan hayat manusia, ia melingkungi kehidupan kanak-kanak melalui dendangan dodoinya, meniti bersama kedewasaannya untuk meratapi cinta yang tak berbalas, rindu yang tak berkesudahan, melangkah bersamanya untuk merintih nasib seorang perantau dan akhirnya mencecah hari tua untuk menegur dan menasihat.
Rima pantun
Dalam berpandukan hukum-hukum kelisanan, maka pantun dicipta. Bentuk pantun dengan demikian memanifestasikan seluruh puitika lisan. Barisnya yang bersukat dan seimbang, dengan pola rima di hujung dan di tengah baris (untuk pantun yang baik), malah pada tahap bentuknya yang awal setiap perkataan dalam pembayang berima dengan setiap perkataan dalam maksud. Sebagai contohnya;
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata;
Mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih;
yang apabila diucapkan memunculkan rima yang menjadikannya mudah dihafal dan dingat-balik. Contohnya pantun-pantun di bawah dengan rima dalam dan rima hujung pada baris-baris yang berselang-selang, apabila diucapkan akan memunculkan ritma yang menarik:
Limau purut/ lebat di pangkal
Sayang selasih/ condong uratnya
Angin ribut/ dapat ditangkal
Hati kasih/ apa ubatnya?
(Wilkinson)
Nasi lemak/ buah bidara,
Sayang selasih/ saya lurutkan;
Buang emak/ buang saudara,
Kerana kasih/ saya turutkan.
(Wilkinson)
Budaya penyampaian
Penggunaan perumpamaan dalam semua bentuk komunikasi verbal, adalah sebahagian daripada etos budaya lisan. Bentuk komunikasi yang berbentuk oral-aural atau “face to face” menjadikan komuniti lisan wujud dalam situasi yang rapat dan dekat. Contoh seperti upacara adat meminang.
Dalam komuniti yang demikian, sesuatu maksud yang hendak disampaikan perlu disampaikan dalam bentuk halus, berlapik dan bijaksana kerana penerima mesej berada di depan muka. Kelangsungan bicara akan dianggap biadap, bebal, atau menyentuh perasaan si penerima, sehingga mengguggat kesepaduan kolektif.
Dari keperluan inilah ungkapan-ungkapan kias-ibarat, perumpamaan dan bidalan muncul. Melaluinya sindiran, teguran, kritikan di sampaikan secara tersirat dan halus, tetapi tepat dan menghiris. Pantun memanfaatkan alat bahasa yang demikian, kerana pantun sentiasa diucapkan dalam konteks sesuatu situasi.